Sekolah, Ilmu Pengetahuan & Kos Berpisah Tiada

Posted: Wednesday, January 1, 2014 by Bangku"Lapuk in
0


Salam tahun baru 2014.. Kita tinggalkan tahun 2013 yang penuh dengan suka duka kehidupan dengan menjadikan ia kekal di dalam lipatan sejarah hidup kita.. Jadikan ia sebagai pengajaran yang berguna..

Hari ni perjalanan aku ke pejabat tak macam minggu-minggu lepas yang tenang, aman dan selesa tanpa kesesakan lalulintas. Kesesakan lalulintas sememangnya dapat memudaratkan poket aku dan rata-rata penghuni di Kuala Lumpur disebabkan tahap penggunaan petrol yang tinggi pada kenderaan.

Kesesakan lalulintas yang aku tempoh hari ni untuk ke pejabat aku harungi dengan senyuman semanis kopi cap Kapal Api kurang gula. Dalam manis ada pahitnya. Kesesakan lalulintas yang terjadi pagi ini juga sebenarnya menandakan bermulanya hari baru persekolahan bagi sesi 2014. Aku tak pasti di mana silapnya mahupun di mana rasionalnya dengan perkara ni. Baiklah, cukup dengan hal kesesakan lalulintas. Sebab itu bukanlah perkara yang aku nak bebelkan hari ni. Apa yang aku nak bebelkan adalah tentang persekolahan. Ya, PERSEKOLAHAN.. Salah satu fasa hidup yang pastinya akan ditempoh oleh setiap umat manusia yang berkemampuan...

SEKOLAH... Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, sekolah (kata nama) adalah bersinonim dengan madrasahperguruankolejmaktab, sekolah pondok. Ini membawa maksud, setiap institusi yang memberikan perkhidmatan pendidikan secara ilmiah mahupun rohaniah adalah dianggap sebagai sekolah. Dua kata kunci di sini adalah SEKOLAH; PERKHIDMATAN:.

Ya, sekolah itu adalah perkhidmatan dan setiap perkhidmatan itu ada harganya yang perlu dibayar. Di dalam konteks kehidupan sekarang ini, harga itu perlulah dibayar di dalam bentuk wang, cek, kad kredit atau syiling sekalipun. Tiada istilah hutang di dalam perkhidmatan yang ditawarkan di sekolah. Mungkin pada 150 tahun yang lampau, ibubapa hanya perlu memberikan guru di tempat anak-anak mereka bersekolah bahan-bahan makanan asas seperti beras, sayur-sayuran ataupun keperluan lain sebagai balasan di atas ilmu yang dicurahkan kepada anak-anak kecil mereka. Namun perkara tersebut sudah tidak mungkin akan berlaku dewasa ini. Mungkin kedengaran tidak rasional dan keanak-anakan jika mahu mengaitkan perkara 150 tahun yang lampau dengan keadaan semasa.

Jika perkara ini dibahaskan secara terbuka di dada akhbar arus perdana pastinya akan muncul respon-respon seperti di bawah:

Guru adalah satu profesion. Adalah mustahil untuk membayar gaji para guru dengan seguni beras setiap bulan. Kami tidak boleh bayar petrol untuk kereta dengan beras di stesen minyak.

Kami menyambut baik usaha pihak berwajib bagi meringankan beban ibubapa pelajar memandangkan kos hidup semakin tinggi kebelakangan ini.

Ya, respon-respon tersebut mungkin akan timbul. Timbulnya ia mungkin disebabkan oleh cara penyampaian media-media arus perdana itu sendiri. Pelbagai cara, pelbagai gaya. Namun matlamatnya gagal disampaikan.

Sememangnya ilmu itu mahal harganya dan ilmu yang diperolehi secara percuma itu ibarat tulisan di papan hitam menggunakan kapur putih mahupun berwarna, sejam tadi ditulis, sejam kemudian sudah tiada.

Tidak dinafikan juga, gaji guru perlu di bayar. Kita tolak ke tepi konteks sekolah peringkat tinggi seperti kolej ataupun universiti. Kita fokuskan kepada sekolah di dalam konteks pendidikan awal, rendah dan menengah. Ini kerana bukan 100% meskipun 80% pelajar lepasan tingkatan 5 akan menyambung pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Baik, berbalik kepada soal gaji guru tadi. Sememangnya kita semua sedar, profesion sebagai seorang guru itu juga bermaksud guru itu adalah kakitangan kerajaan ataupun membawa maksud yang sama iaitu penjawat awam. Ini bererti, gaji setiap para guru yang dikasihi lagi dihormati adalah dibayar menggunakan dana kewangan daripada pihak kerajaan dan bukanlah berasaskan secara terus kepada kadar yuran yang dikenakan kepada setiap pelajar. Ini juga membawa erti, gaji dua orang guru yang sama grednya namun berkhidmat di dua buah sekolah yang berbeza dibayar pada kadar yang sama walaupun jumlah keseluruhan pelajar di dua buah sekolah tersebut adalah berbeza. Mudah bukan sifirnya?

Sebagai seorang insan yang masih belum berkahwin dan semestinya masih tidak mempunyai anak selain anak tekak dan anak kunci, aku tak mengharapkan ketika aku menghantar anak ke sekolah nanti semuanya adalah percuma. Bahkan pensel, pemadam dan pembaris kayu sekalipun diberikan secara percuma oleh kerajaan. Namun, dapat dirasakan setiap para ibubapa di Malaysia mengharapkan kos untuk memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak mereka adalah lebih rendah berbanding apa yang dilalui sekarang ini. Bayangkan, kos sara hidup semakin meningkat. Subsidi petrol dikurangkan, harga gula naik, harga minyak masak naik, tarif elektrik naik dan pelbagai lagi kenaikan yang membuatkan tekanan darah juga turut naik. Ini sememangnya membebankan ibubapa. Jika di China ada segelintir pelajar membunuh diri kerana tekanan belajar, kita tidak mahu di Malaysia terdapat kes ibubapa membunuh diri secara berjemaah bersama keluarga kerana tertekan untuk menyekolahkan anak-anak.

Renungkan sejenak, untuk menyekolahkan seorang anak, pelbagai kelengkapan seperti pakaian seragam, alat tulis, buku, beg sekolah perlu disediakan oleh para ibubapa. Ini tidak termasuk lagi permintaan khas dari anak-anak mereka seperti botol air Upin & Ipin warna kuning, kotak pensel Ben 10 dua tingkat, pensel warna larut air Faber-Castell set 24-batang. Dianggarkan kos keseluruhan persiapan persekolahan adalah di dalam lingkungan RM 200 hingga RM 500 bagi seorang anak. Jika ditambah dengan yuran persekolahan? Aku tertelan air liur sendiri, hampir tercekik ketika membuat pengiraan kasar tentang kos persiapan persekolahan.

Baiklah, untuk memastikan cara pengiraan yang sebenar aku cuba bertanya pada Pak Cik Google dengan kata kunci "Yuran Sekolah 2014". Google menasihati aku supaya merujuk kepada laman portal rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia. Muka hadapan portal tersebut menakjubkan, terbit rasa bangga dengan kebolehan anak tempatan. Melalui kotak carian yang disediakan di muka hadapan, aku taipkan kata kunci yang sama seperti di Google. Keputusan carian dikeluarkan. Satu klik hasil bidikan yang tepat ke atas capaian yang dirasakan dapat memberikan jawapan. Namun jawapan gagal diperolehi disebabkan apa yang tertera hanyalah paparan putih bersih seperti kafan. Cursor di monitor digerakkan menggunakan tetikus ke arah capaian yang lain. Hasilnya sama. Nafas panjang ditarik melalui hidung dan dilepaskan melalui mulut. Satu carutan manja dilepaskan. Aku berfikir sejenak, mungkin ini adalah laman web yang dihasilkan oleh pelajar universiti tempatan bagi memenuhi kehendak kursus pelajaran mereka. Ya, mungkin ini adalah kerja kursus bagi kelas multimedia mereka. Mustahil portal rasmi kementerian sedemikian rupa. Tapi, ingin aku nasihati pelajar tersebut, lebih indah jika dapat diletakkan video Nyan Cat berformat .gif sebagai penyeri berbanding hamparan kosong berwarna putih dibiarkan menjamu pandangan mata.

Pencarian diteruskan. Namun apa yang ditemui adalah kos persekolahan bagi Pra-Sekolah. Tidak mengapa, masih di dalam konteks yang aku bincangkan. Hasil rujukan dari blog Pn. Miera Jefri, ini yang diperolehi..


  1. Uniform Daerah: RM 30.00 / sepasang
  2. Uniform Negeri: RM 50.00 / 2 pasang
  3. Buku Latihan: RM 3.00
  4. Modul Kecemerlangan: RM 100.00
  5. Tanda Nama: RM 5.00
  6. Graduasi: RM 50.00
  7. Lawatan: RM 30.00
  8. Fail KSPK: RM 10.00
          JUMLAH KESELURUHAN: RM 278.00

          (Kredit kepada Pn. Miera Jefri)

Baiklah, mungkin kos tersebut tidak melambangkan kos di kawasan lain. Tapi ada sesuatu yang agak menarik mengenai kos persekolahan bagi pelajar Pra-Sekolah ini. Di manakah rasionalnya tentang perkara 1, 2, 5, 6, 7 & 8? Mengapa perlu ada Uniform Daerah dan Negeri? Mengapa tidak satu jenis uniform sahaja dibekalkan oleh pihak sekolah? Sekurang-kurangnya dapat menjimatkan kos yang ditanggung oleh ibubapa. Modul Kecemerlangan berharga RM 100? Tanda nama? Pelajar pra-sekolah yang baru sahaja ingin mengenal abjad dan nombor ini perlu memakai tanda nama untuk apa? Mustahil guru yang ditugaskan tidak mampu mengingati setiap nama anak murid yang kurang daripada 30 orang di dalam sebuah kelas dalam tempoh 11 bulan? Graduasi? Anda benar-benar serius? Graduasi untuk anak kecil di peringkat pra-sekolah? Adakah menjadi kebanggaan ibubapa melihat gambar graduasi pra-sekolah anak mereka? Cuba bayangkan, seorang anak kecil berlari ke arah ibubapanya sambil menjerit.. "Ibu.. Ayah.. Abang hadiahkan segulung ijazah sijil pra-sekolah ni untuk ibu dan ayah.." sambil menangis teresak-esak. Fail KSPK (Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan) berharga RM 10?

Jika senario ini sedang berlaku di peringkat pra-sekolah, apakah yang sebenarnya sedang terjadi di peringkat rendah dan menengah?

Kesimpulannya, janganlah bebanan yang terlalu berat diletakkan di bahu setiap ibubapa yang ingin memberikan pendidikan kepada setiap anak yang mereka. Seharusnya, kerajaan membantu para ibubapa ini. Ilmu itu besar faedahnya. Ilmu itu penerang kepada kegelapan. Janganlah kegelapan hari ini semakin menenggelamkan cahaya masa hadapan. Seharusnya pihak kementerian bertanggungjawab meletakkan garis panduan tentang yuran sekolah di PORTAL RASMI milik mereka bagi memudahkan ibubapa pelajar untuk mengetahui keadaan sebenar. Kadar yuran pula janganlah terlalu dibebani dengan perkara yang tidak diperlukan bagi memenuhi kehendak utama di dalam proses menuntut ilmu. Apalah gunanya pengurangnya subsidi jika ia tidak disalurkan kepada perkara yang sepatutnya. Pembangunan sesebuah negara tidak bererti jika ilmu setiap penduduknya tidak memenuhi kriteria penduduk negara maju. Guru-guru pula renungkanlah ke masa lampau, kenangkanlah bagaimana para pendidik pada masa dahulu mencurahkan ilmu mereka tanpa merenung tentang masa hadapan mereka. Apa guna berkereta mewah jika ilmu yang dicurahkan diniatkan dengan perkara yang bertentangan dengan akidah profesion perguruan. Sesungguhnya ilmu itu dibawa ke akhirat. Pahalanya kekal hingga bila-bila selagi ilmu itu digunakan ke arah kebaikan. Ibubapa pula janganlah terlalu mengharapkan segalanya diberikan secara percuma, cukuplah jika ia tidak membebankan. Kerana ilmu itu tidak ternilai harganya. Berdasarkan pandangan aku secara peribadi, apa yang terjadi kini PENDIDIKAN itu adalah PERNIAGAAN yang menguntungkan.

I've never let my school interfere with my education. - Mark Twain 

Tahun Baru | Buka Buku Baru | Blog Baru | Membebel Cara Baru | Baru Ngam!!!

Posted: by Bangku"Lapuk in


Selamat Datang Tahun 2014.. Selamat Tinggal Tahun 2013..
Tinggallah engkau menjadi sejarah dalam hidupku dan seluruh umat manusia di seluruh pelosok dunia..

Aku malas nak panjang cerita, asalnya tadi aku dah taip panjang-panjang. Aku padam balik apa yang aku taip tadi. Sebab aku rasa dah macam novel cintan-cintun yang budak-budak zaman sekarang suka baca.

Tahun 2014, aku buat blog baru.. Aku nak bukak buku baru.. Aku nak membebel cara baru..

Untuk setiap apa sahaja hasil penulisan ataupun bebelan yang aku tampal di dalam blog ni sebenarnya adalah sebahagian daripada pendapat peribadi aku tanpa mengambilkira faktor susut nilai kenderaan pacuan empat roda semasa dunia mahupun keadaan cuaca di kawasan Pantai Timur Malaysia sekalipun...

Aku tak mengharapkan viewers berpuluh-puluh juta hatta dibaca oleh sekalian penduduk bumi sekalipun. Apa yang aku harapkan hanyalah blog aku ni menjadi medium untuk aku meluahkan pendapat aku dan membebel kepada orang lain dengan cara lebih meluas.. Kah3..

Andai ada yang terbaca blog aku ni, fahamilah dan cubalah untuk berfikir sejenak setiap patah perkataan yang aku coretkan.. Hadamkan dan cernakan mengikut apa yang kalian mampu..

Aku mulakan bebelan di blog aku ini dengan lafaz...


Throw your dreams into space like a kite, and you do not know what it will bring back, a new life, a new friend, a new love, a new country. - Anais Nin